Pages

Empunya


Muslim. Ahlus sunnah wal jamaah.

Pertama kali melihat dunia di Kuala Lumpur. Dibesarkan oleh umi dan abah tercinta di pekan Subang Jaya dan berdarah negeri Cik Siti Wan Kembang; sebuah negeri Islam berdaulat yang dipandang sebelah mata oleh kerajaan pusat.

'nazrinafifi' ada seorang adik lelaki dan dua orang adik perempuan yang mempunyai pelbagai ragam. Letih juga rupa-rupanya menjadi anak sulung, pada hematnya. Abahnya boleh berbahasa jerman (macam P Ramlee) manakala uminya boleh berbahasa jepun, tetapi bahasa pertama mereka sekeluarga ialah Melayu dialek Kelantan.

Pengajian formal 'nazrinafifi' bermula di Child Enrichment Centre (CEC). Akibat tidak tahan dengan budaya sekular yang diamalkan, dipaksa mengikuti kelas renang dan disogok pelajaran tulisan mandarin, 'nazrinafifi' memaksa abah menukarnya ke tadika yang lain. 'nazrinafifi' pun berhijrah ke Taska Rising Stars; tempat dia menerangkan nama-nama spesies dinosaurs dengan penuh jenuh kepada rakan sekelas.

'nazrinafifi' bergaul sihat dengan kawan-kawan berbilang bangsa di Sekolah Kebangsaan USJ 12. Setiap kali usai latihan taekwando, 'nazrinafifi' sering ke longkang kecil di tepi sekolah untuk mencedok berudu-berudu yang gemuk-gemuk dengan menggunakan cawan kertas yang dikoreknya daripada tong sampah berdekatan. 'nazrinafifi' memang banyak bermain. Sehinggakan agenda utamanya setiap kali ke Sekolah Agama KAFA Dzul Iman ialah untuk bermain kejar-kejar.

Akibat banyak bermain dan kurang belajar, maka 'nazrinafifi' tercampak ke Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak. Sekalipun guru-gurunya tegas dan berwibawa, 'nazrinafifi' pernah meletupkan makmal biologi sekolah kerana ingin mencuba memintas litar elektrik menggunakan set compass. Pihak berwajib sedar akan kecenderungannya dalam bidang kejuruteraan elektrik lalu mereka menyuruh 'nazrinafifi' menyambung pelajarannya ke Kolej Yayasan UEM.

A-Levels di kolej sangat menyesakkan dada kerana pembelajarannya berorientasikan peperiksaan. Sudahlah tiap-tiap hari bermandikan air karat; internet pula lambat, maka 'nazrinafifi' mengalami stres yang amat. Akhirnya, 'nazrinafifi' mengambil keputusan untuk memohon perintah 'buang negeri' daripada pihak berwajib seperti UCAS dan pihak imigresen. Permohonannya berjaya, dan dia menerima tawaran ke Heriot-Watt University di United Kingdom.

Di tanah Inggeris, 'nazrinafifi' mengalami kejutan budaya yang sangat teruk kerana anjing-anjing di sana comel dan jinak. Kadang kala dia disalak 'go back to China!' walhal mukanya jelaslah hitam Melayunya. Setelah tiga tahun mengalami suka dan duka, salji dan sun-burnt di sana, akhirnya 'nazrinafifi' pulang ke tanah air untuk menimba ilmu di Universiti Kebangsaan Malaysia.

'nazrinafifi' tidak tahu dunia akademik akan membawanya ke mana selepas ini. Apa-apa pun, pesanan orang tua-tua agar ke menara gading dan berbakti kepada masyarakat itu tetap utuh dalam perjuangannya.

Oh, tidak semua cerita 'nazrinafifi' curahkan di blog ini. Kadang-kadang 'nazrinafifi' lebih selesa berhubung di Fotografifi.

Sekian, dan salam perkenalan.

No comments: